Selasa, 14 Februari 2012

Apakah Pembestarian Sekolah ?

Pembestarian Sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi penggunaan ICT dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan kompetensi guru. Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. Komponen utama Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian Sekolah ini akan dapat melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).

PEMIKIRAN ARAS TINGGI (HOT )

Pemikiran Aras Tinggi (HOT) merupakan salah satu komponen utama dalam kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK). George Polya dalam tahun 1957 berjaya membina satu model penyelesaian matematik yang dikenali sebagai " Model Polya". HOT juga merupakan aras yang paling tinggi dalam hirarki proses kognitif. ianya berlaku apabila sesorang mendapat maklumat baru, menyimpan dalam memori dan menyusun, mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada dan memanjangkan maklumat ini untuk mencapai sesuatu tujuan atau penyelesaian situasi rumit.
Dengan adanya HOT pelajar dapat :
  • Membuat keputusan
  • Membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan.
  • Melahirkan idea baru dan objek baru.
  • Membuat ramalan
  • Menyelesaikan masalah non-rutin
HOT memberi peluang kepada pelajar untuk mengalami sendiri pembelajaran secara langsung melalui proses membuat generalisasi dan algoritma. Ianya dapat dicapai melalui beberapa kaedah seperti penyelesaian masalah, penerokaan matematik dan penyiasatan matematik dibantu oleh 'alat' iaitu pemikiran kreatif dan kritis. 
Kategori Pemikiran
Pemikiran boleh dibahagikan kepada  tiga kategori iaitu :
  • Pemikiran Kritis
  • Penyelesaian Masalah
  • Pemikiran Kreatif
1. Pemikiran Kritis
Pemikiran kritis merupakan kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan atau kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan kesahan atau kelemaham sesuatu hujah dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah.
Kenapa Pemikiran Kritis Diperlukan
Para pelajar yang didedahkan dengan pemikiran kritis lebih bersedia menghadapi masalah yang lebih kompleks dan perubahan teknilogi yang berlaku secara mendadak. Ini adalah kerana pelajar tersebut telah mempunyai kebolehan untuk bertindak secara efektif yang diperolehi melalui pemikiran kritis.
2. Penyelesaian Masalah
Secara amnya, penyelesaian masalah ialah pelbagai langkah atau cara yang kita  akan lakukan apabila kita menghadapi sesuatu masalah. Keinginan untuk menyelesaikan masalah ini timbul apabila kia berdepan dengan sesuatu masalah dan tidak pasti cara bagaimana untuk menyelesaikannya. Terdapat dua penyelesaian masalah dalam matematik iaitu masalah rutin dan masalah non rutin. Maslah rutin merupakan maslah harian yang bertujuan supaya pelajar menguasai kemahiran asas. Masalah non rutin pula adalah penyelesaian masalah matematik menggunakan kemahiran konsep atau prinsip matematik yang telah dikuasai terdahulu. Proses penyelesaian masalah tidak dapat dihafal , ianya memerlukan satu set aktiviti yang sistematik dengan perancangan strategi dan kaedah yang sesuai.
Apa yang dipelajari dalam pendekatan ini?
Dalam pendekatan ini pelajar mempelajari secara eksplisit strategi atau kemahiran dalam menyelesaikan masalah. Pelajar diberi banyak peluang untuk berlatih menggunakan strategi-strategi penyelesaian masalah secara berkesan. Pelajar juga diberi peluang untuk memilih strategi yang sesuai dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Beberapa strategi yang dipelajari dalam pendekatan ini ialah :
  • Melikis gambarajah
  • Senarai sistematik
  • Menolak kemungkinan
  • Logik Matriks
  • Mencari pola
  • Teka dan semak
  • sub-masalah berpatah balik
  • Membina model
  • Menyusun maklumat
  • Memudahkan masalah
  • Menjalankan eksperimen
  • Menggunakan formula
3. Pemikiran  Kreatif
Dr. Edward de Bono mendefinisikan kreatif  dan kreativiti sebagai :
" At the simplest level "creative" means bringing into being something that was not there before".
" Creative thingking includes personal processes, as such as new ways of looking at things, new ways of organizing things ang new ideas about ideas"
Rollo May pula menyatakan
" Creativity is the encounter of the intensively conscious human being with his world "
Sebagai rumusan bolehlah kita katakan bahawa pemikiran kreatif membawa maksud kecekapan atau keupayaan menggunakan minda untuk meneroka pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai sama ada bersifat maujud, abstrak atau gagasan. Beberapa ciri pemikian kreatif ialah :
  • Menjana idea yang asli, luar biasa dan mencabar
  • Melihat perhubungan /corak /pola
  • Mengaitkan
  • Membuat analogi
  • Mensentisis
  • Merumus
  • Membuat kesimpulan
  • Memcipta metafora
  • Membuat hipotesis,generalisasi,memberi pandangan. 
Contoh HOT dalam pengajaran dan pembelajaran matematik
HOT dan Penerokaan Matematik- Penerokaan Matematikal merupakan suatu kaedah  mengajar  pelajar satu cara berfikir tentang sesuatu situasi yang seterusnya berkembang menjadi satu idea matematik. Proses penerokaan hany aberlaku apabila pelajar diberi masalah matematik yang bermakna dan mencabar.  melalui penerokaan pelajar akan mengalami proses HOT seterusnya dapat membentuk model dengan sendiri yang membawa kepada pengetahuan matematikal. Pelajar juga melakukan proses 'bermain-main' (messing around) dengan idea-idea matematik dengan melihat contoh, membuat tekaan dan penyoalan. Apabila pelajar sedang meneroka, dia bukan sahaja mencuba untuk menyelesaikan masalah tertentu tetapi cuba mempertingkatkan kefahaman mengenai sesuatu situasi. Beberapa akviti yang dapat dijalankan adalah seperti contoh di dalam lampiran ( rujuk lampiran 1 dan lampiran 2 ).


Penutup
Penyelesaian masalah, penerokaan dan peyiasatan matematik banyak membantu dan menggalakkan pelajar-pelajar berfikir secara HOT. Perubahan cara berfikir yang berkesan dan berterusan sudah menjadi satu tanggungjawab besar dalam konsep Sekolah Bestari.

Ahad, 12 Februari 2012

Belajar Dari Ujian

APABILA sesuatu keputusan ujian atau peperiksaan yang dijalankan di peringkat sekolah itu tidak mencapai tahap memuaskan, maka kebiasaannya murid akan berkata bahawa peperiksaan itu tidak penting kerana ia bukannya peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan sebenar.
Walau apa sahaja alasan yang diberikan, latihan, ujian atau peperiksaan bukan sahaja bertujuan untuk melihat gred yang diperoleh, tetapi merupakan proses belajar (learning process) untuk mengenal pasti tahap pencapaian mengikut kebolehan masing-masing. Dalam hal ini setiap kesilapan yang dilakukan perlu dikaji di manakah kelemahan serta apakah bentuk usaha yang perlu ditambah lagi.
Proses untuk mengenal pasti kelemahan diri tidak akan dapat dilakukan dengan berkesan jika sesorang murid menganggapkan peperiksaan ini tidak penting dan tidak membuat persiapan yang secukupnya untuk peperiksaan tersebut. Sesungguhnya kita banyak mendapat ilmu dan bimbingan melalui kesilapan yang dilakukan sebelum itu. Setiap kesilapan yang dilakukan mampu memberi kita panduan, mengelakkan kita mengulangi kesilapan tersebut serta memberi satu ilmu baru dalam membuat persiapan diri menghadapi peperiksaan.
Sebenarnya tidak ada istilah peperiksaan sebenar atau peperiksaan olok-olok. Setiap peperiksaan menguji kita sejauhmana persediaan yang dilakukan ke arah mencapai kehendak piawaian yang ditetapkan. Selain dari itu peperiksaan juga memberi ruang dan peluang kepada murid-murid menfaatkan beberapa perkara seperti berikut:
• Pergerakan minda: Minda harus digerakkan agar apa yang dipelajari dapat dimasukkan ke dalam memori jangka panjang yang membolehkan murid-murid mengingati pelajaran tersebut dalam jangka masa yang panjang. Apabila terdapatnya latihan, ujian atau peperiksaan, maka murid-murid dengan secara tidak langsung akan bersedia membuat ulang kaji lantas menggerakkan minda kita
• Motivasi diri: Melalui keputusan yang diterima, ia mampu memberi satu bentuk kepuasan diri. Malah kepuasan ini akan meningkatkan lagi aras motivasi diri dalam proses mengulang kaji pelajaran.
• Peringatan diri: Jika keputusan peperiksaan tersebut tidak mencapai tahap cemerlang maka ia seolah-oleh memberi satu isyarat dan peringatan kepada murid-murid agar usaha perlu digandakan lagi. Andai kata murid-murid hanya menganggapkan hanya peperiksaan sebenar itu sahaja yang penting, maka tidak berlakulah proses motivasi diri atau peringatan diri yang memberi ruang untuk bertindak membaikinya di peringkat awal. Jika keputusan tidak memuaskan ia akan berakhir dengan penyesalan.
Justeru, setiap ujian atau peperiksaan itu penting dan perlulah diberi perhatian yang sepenuhnya. Peperiksaan bukan sahaja bertujuan untuk melihat prestasi dalam bentuk skor pada gred tetapi merupakan satu proses belajar yang bertujuan untuk membuat penambahbaikan pada diri sendiri.

Guru pemupuk budaya membaca

GURU PERMULAAN oleh DR. ISMAIL ZAIN
WALAU apa sahaja kecanggihan perkakasan dan perisian yang digunakan dalam sistem penyampaian maklumat, membaca merupakan satu proses yang amat diperlukan untuk mengakses, menterjemah dan akhirnya memahami maklumat tersebut.
Proses ini berlaku di sekolah dan guru merupakan sumber utama yang mampu memupuk budaya membaca ini dalam kalangan murid.
Memang tidak dapat dinafikan membaca merupakan proses yang bosan serta tidak digemari oleh sebahagian besar murid-murid. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana membaca memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Sedangkan isi bacaan, gaya penulisan dan olahan serta susunan grafik yang terdapat pada halaman-halaman buku tersebut amat mempengaruhi daya tarikan membaca.
Tidak hairanlah kenapa buku-buku atau majalah-majalah yang mempunyai gambar, saiz huruf yang besar serta susunan grafik yang menarik dan berwarna warni menjadi pilihan murid-murid. Manakala buku yang terlalu tebal, saiz huruf yang kecil dan tidak mempunyai gambar, kurang digemari oleh mereka.
Dalam hal ini guru harus memainkan peranan yang penting dalam usaha memupuk budaya membaca. Mereka tidak seharusnya memberi arahan sahaja kepada pelajar untuk membaca tetapi perlu merangka aktiviti yang sesuai dan menarik agar rasa bosan dapat ditangani.
Sebagai contoh aktiviti yang boleh dirancang oleh guru bolehlah mengandungi arahan seperti berikut:
• Mencari dan meneroka: mencari maklumat dan meneroka kisah yang terdapat di dalamnya.
• Menyenarai: menyenarai maklumat yang berkaitan dengan topik yang dibaca.
• Melakar: melakar peta minda atau bentuk grafik yang lain
• Menilai: membuat jangkaan, mengkaji kebaikan atau kelemahan dan membuat cadangan terhadap bahan bacaan tersebut.
• Mempersembah: menyampaikan isi bacaan yang dilakar dalam pelbagai bentuk dan gaya persembahan seperti lakonan, bacaan berirama, berhujah dan sebagainya mengikut kesesuaian tahap masing-masing.
Aktiviti-aktiviti yang disebutkan di atas sebenarnya telah menggabungkan pelbagai deria dan gaya belajar serta mengambil kira aspek kepelbagaian kecerdasan yang ada pada seseorang murid. Malah aspek pemikiran kritis dan kreatif serta budaya inovasi sudah digarapkan dalam aktiviti ini.
Guru seharusnya kreatif dalam proses merancang corak pembelajaran dan pemilihan media pengajaran kepada murid-murid. Kekangan masa serta hal-hal lain tidak harus dijadikan alasan kenapa pengajaran yang berasaskan sumber dan aktiviti tidak dapat dijalankan. Perancangan yang rapi, pemilihan yang bijak serta jiwa yang ikhlas mampu mewujud pembelajaran yang menarik dan berkesan ke arah pembentukan modal insan yang bermaklumat dan mulia.

Ciri-ciri pemimpin yang baik.

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. Seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Dalam proses perhubungan Ketua Jabatan dan kakitangan, terdapat banyak aspek yang perlu diberi perhatian.
Misalnya, bagaimanakah seorang Ketua Jabatan mempengaruhi tingkah laku kakitangan supaya dapat menghasilkan output yang sempurna. Sebagai contoh dalam situasi sekolah misalnya, pengetua/guru besar dan guru-guru berusaha melahirkan pelajar yang sempurna dari segi mental, fizikal, rohani dan jasmani. Seorang pengetua/guru besar mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan, agar mendapat kerjasama dan diterima oleh semua kakitangan di sekolah.
Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu. Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu. Pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. Ini termasuklah:
1. Mentaliti
  • Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
  • Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.
  • Mempunyai inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain datang kepadanya minta bertindak.
  • Mempunyai kreativiti sendiri, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam organisasi.
2. Kemasyarakatan
  • Kesediaan memberi dan menerima pendapat.
  • Sikap positif dan terbuka.
  • Daya penggerak dan semangat juang yang kuat.
  • Kebolehan berkomunikasi secara berkesan.
3. Moraliti
  • Mempunyai disiplin diri yang unggul.
  • Kebersihan jiwa terutamanya dari segi keadilan, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan pendirian dan ketahanan diri.
  • Iman yang teguh, terutama orang yang beragama Islam.
Antara ketiga-tiga ciri yang dinyatakan, moraliti adalah yang terpenting untuk menilai seseorang pemimpin sama ada baik atau buruk, berkesan atau tidak, boleh bertahan lama atau tidak.
Pemimpin memerlukan juga sikap tertentu untuk mempengaruhi orang lain. Perkara yang paling penting ialah pemimpin harus mempunyai pengertian dan tanggapan yang tajam terhadap individu-individu yang saling berurusan dengannya. Selain daripada itu seorang pemimpin juga harus mempunyai:
  • Empati; iaitu kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati.
  • Kesedaran; akan kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri. Sedar tentang bagaimanakah dirinya dianggap oleh orang lain. Hanya apabila ini berlaku maka barulah kepercayaan kebolehan dirinya akan timbul.
  • Kebolehan: untuk melihat secara objektif akan masalah-masalah dan tingkah laku anggota-anggota lain. Pemimpin harus bersikap adil boleh memberi analisa yang adil dan tidak emosional.
Selain itu, sekiranya seseorang itu ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima sebagai baik:
  • Seseorang pemimpin harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman.
  • Seseorang pemimpin mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya.
  • Seseorang pemimpin yang baik berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus.
  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pemimpin yang baik juga tidak berkasar dengan orang-orang bawahannya.
  • Seseorang pemimpin yang baik pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.
  • Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.
  • Seorang Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang denganorang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja.
  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia.
  • Seorang pemimpin yang baik pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.
  • Seorang pemimpin yang bijak tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.
Melalui perbincangan mengenai ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.
Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.
Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa; secara formal melalui jawatan dan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan, iaitu penerimaan orang-orang bawahan .

Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) 2012

Semalam Kementerian Pelajaran Malaysia mengiktiraf 14 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 10 buah sekolah rendah dan 4 sekolah menengah di bawah Kohort 3 tahun ini. Watikah pengiktirafan dan peruntukan dana khas disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebagai makluman bersama, pengikhtirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dibuat sejajar dengan salah satu tumpuan yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, khususnya untuk mengangkat kualiti sekolah-sekolah yang terbaik melalui peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing. Program itu juga bermatlamat untuk menghasilkan pelajar holistik yang cemerlang dengan menjadikan SBT sebagai tempat melatih murid cemerlang bertaraf antarabangsa di samping menjadi personaliti unggul dalam semua bidang.
Baca juga artikel sebelum ini:
  1. Sekolah Berprestasi Tinggi Tahun 2010 – 2011 (Kohot 1 & 2)
  2. Sekolah Daif di Malaysia
Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohot 3 Tahun 2012
10 Buah Sekolah Rendah 
  1. SK(P) Sultan Ibrahim, Johor Baharu
  2. SK Infant Jesus Convent, Johor Baharu
  3. SK Ibrahim, Sungai Petani, Kedah
  4. SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu
  5. SK Tengku Mahmud, Besut, Terengganu
  6. SK Assunta Convent, Kuantan, Pahang
  7. SK Minden Height, Pulau Pinang
  8. SJKC Kwang Hwa, Pulau Pinang
  9. SJKC Keat Hwa (H) Alor Setar, Kedah
  10. SJKC Foon Yew 2 Johor Baharu, Johor
4 Buah Sekolah Menengah
  1. SM Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah
  2. SM Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
  3. SM Sains Kota Tinggi, Kota Tinggi, Johor
  4. SM Sains Johor, Kluang, Johor.
Semoga pertambahan SBT ini turut menambah bilangan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga sahsiah moral dan agama di negara ini.