Khamis, 26 Mei 2011

Notebook 1Malaysia

BELURAN, 26 Mei -- Seramai 321 pelajar dari dua sekolah menengah di sini pada Khamis, menerima Notebook 1Malaysia daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Mereka terdiri daripada 110 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sapi dan 211 dari SMK Telupid.

Timbalan Pengarah SKMM cawangan Sandakan Aaron Tan berkata pengagihan hari ini adalah untuk fasa kedua bagi kawasan parlimen Beluran.

Sebelum ini sebanyak 1,500 unit telah diagihkan dalam fasa pertama, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sejumlah 49,832 unit notebook 1Malaysia akan diagihkan untuk fasa kedua bagi seluruh Sabah.

"Pengagihan Notebook 1Malaysia untuk fasa ketiga akan dilakukan tidak lama lagi bagi mencapai sasaran tiada lagi anak Sabah akan ketinggalan zaman Teknologi Maklumat (IT) dan menjadi pakar IT pada masa depan," katanya.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Tan menasihatkan pelajar terbabit memanfaatkan sebaiknya komputer berkenaan selain mematuhi tatacara penggunaan internet agar tidak melanggar undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan