Ahad, 12 Februari 2012

Belajar Dari Ujian

APABILA sesuatu keputusan ujian atau peperiksaan yang dijalankan di peringkat sekolah itu tidak mencapai tahap memuaskan, maka kebiasaannya murid akan berkata bahawa peperiksaan itu tidak penting kerana ia bukannya peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan sebenar.
Walau apa sahaja alasan yang diberikan, latihan, ujian atau peperiksaan bukan sahaja bertujuan untuk melihat gred yang diperoleh, tetapi merupakan proses belajar (learning process) untuk mengenal pasti tahap pencapaian mengikut kebolehan masing-masing. Dalam hal ini setiap kesilapan yang dilakukan perlu dikaji di manakah kelemahan serta apakah bentuk usaha yang perlu ditambah lagi.
Proses untuk mengenal pasti kelemahan diri tidak akan dapat dilakukan dengan berkesan jika sesorang murid menganggapkan peperiksaan ini tidak penting dan tidak membuat persiapan yang secukupnya untuk peperiksaan tersebut. Sesungguhnya kita banyak mendapat ilmu dan bimbingan melalui kesilapan yang dilakukan sebelum itu. Setiap kesilapan yang dilakukan mampu memberi kita panduan, mengelakkan kita mengulangi kesilapan tersebut serta memberi satu ilmu baru dalam membuat persiapan diri menghadapi peperiksaan.
Sebenarnya tidak ada istilah peperiksaan sebenar atau peperiksaan olok-olok. Setiap peperiksaan menguji kita sejauhmana persediaan yang dilakukan ke arah mencapai kehendak piawaian yang ditetapkan. Selain dari itu peperiksaan juga memberi ruang dan peluang kepada murid-murid menfaatkan beberapa perkara seperti berikut:
• Pergerakan minda: Minda harus digerakkan agar apa yang dipelajari dapat dimasukkan ke dalam memori jangka panjang yang membolehkan murid-murid mengingati pelajaran tersebut dalam jangka masa yang panjang. Apabila terdapatnya latihan, ujian atau peperiksaan, maka murid-murid dengan secara tidak langsung akan bersedia membuat ulang kaji lantas menggerakkan minda kita
• Motivasi diri: Melalui keputusan yang diterima, ia mampu memberi satu bentuk kepuasan diri. Malah kepuasan ini akan meningkatkan lagi aras motivasi diri dalam proses mengulang kaji pelajaran.
• Peringatan diri: Jika keputusan peperiksaan tersebut tidak mencapai tahap cemerlang maka ia seolah-oleh memberi satu isyarat dan peringatan kepada murid-murid agar usaha perlu digandakan lagi. Andai kata murid-murid hanya menganggapkan hanya peperiksaan sebenar itu sahaja yang penting, maka tidak berlakulah proses motivasi diri atau peringatan diri yang memberi ruang untuk bertindak membaikinya di peringkat awal. Jika keputusan tidak memuaskan ia akan berakhir dengan penyesalan.
Justeru, setiap ujian atau peperiksaan itu penting dan perlulah diberi perhatian yang sepenuhnya. Peperiksaan bukan sahaja bertujuan untuk melihat prestasi dalam bentuk skor pada gred tetapi merupakan satu proses belajar yang bertujuan untuk membuat penambahbaikan pada diri sendiri.

1 ulasan: