Selasa, 3 April 2012

Maklumat Asas Disiplin Sekolah

MAKLUMAT ASAS DISIPLIN SEKOLAH


Pengertian Hukuman

Hukuman boleh diertikan sebagai kuasa mengenakan hukuman bagi sesuatu salah laku. Terdapat tiga unsur utama dalam pengertian hukuman  :

i.           Terpenting sekali ialah pengertian hukuman melibatkan salah laku yang sebenar atau diandaikan berlaku. Ini merupakan hukuman yang bersifat memberi balasan kepada sesuatu kesalahan yang telah dilakukan.
Hukuman hendaklah dikenakan oleh seseorang yang berkuasa ke atas yang dihukum.
Hukuman melibatkan sesuatu yang tidak menyenangkan dikenakan ke atas yang bersalah, ia boleh jadi tindakan fizikal bersifat positif yang menyakitkan, atau menafikan sesuatu yang disukainya.

Hukuman dalam Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru ialah Pembuangan Sekolah, Penggantungan Sekolah, Hukuman Dera ( Corporal punishment ), Penahanan (detention) dan Amaran.

                                                                             
Pengertian Pembuangan Sekolah

Hukuman yang boleh dikenakan ke atas mana-mana murid yang didapati bersalah bersabit dengan mana-mana kategori salah laku berat selaras dengan Peraturan-peraturan Pelajaran. (Disiplin Sekolah) 1959.

Seseorang murid yang telah melakukan salah laku atau tingkah laku yang mengganggu berulangkali dan didapati tidak berubah selepas tindakan memulihnya diambil oleh Pengetua / Guru Besar atau tingkah lakunya mendatangkan gangguan yang serius kepada murid-murid lain dan terhadap keseluruhan disiplin sekolah, tindakan yang sesuai diambil ialah mengarahkan pembuangannya dari sekolah.


Pengertian Penggantungan Sekolah

Hukuman penggantungan merupakan satu arahan di mana seseorang murid itu dilarang dari memasuki kawasan sekolah. Penggantungan adalah bersifat sementara sahaja dalam jangka masa yang berpatutuan sehingga tidak lebih 14 hari persekolahan.

Dalam keadaan di mana seorang murid berkelakuan liar dan mengganggu sehingga perlu diasingkan dari sekolah manakala menunggu hasil siasatan mengenai cara yang paling sesuai untuk menghadapinya, Pengetua / Guru Besar berkuasa mengarahkan penggantungan persekolahan murid itu sehingga tidak lebih 14 hari.

Penggantungan yang dibuat kerana menunggu hasil sesuatu siasatan hendaklah dibezakan sebagai satu hukuman yang dijatuhkan oleh Pengetua / Guru Besar seperti diperbekalkan dalam Peraturan 8, Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

Bila penggantungan dibuat sebagai tindakan menghukum peluang yang cukup untuk murid membuat penjelasan ( to show case ) hendaklah diberi.


Pengertian Hukuman Dera ‘corporal punishment’

Hukuman dera (rotan) boleh dikenakan (kecuali ke atas murid-murid perempuan) tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.
Dijalankan sebaik-baik sahaja sesuatu salah laku itu dilakukan oleh murid. Hendaklah dibuat setelah sesuatu salah laku telah dapat disahkan.

Dijalankan oleh Pengetua / Guru Besar sendiri atau oleh seorang guru yang berdaftar yang telah diberikan kuasa secara nyata atau khas iaitu mengikut keadaan [Perkara 6 Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959].

Hukuman dera hendaklah dijalankan dengan menggunakan rotan ringan dan pukulan rotan hanya boleh dibuat pada tapak tangan atau di bahagian punggung yang berlapik. Hukuman dera ke atas pelajar perempuan dilarang secara nyata dalam [Perkara 5 Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959].


Pengertian Hukuman Penahanan ‘detention’

Hukuman penahanan adalah untuk mengawal murid-murid yang jahat (delinquent) supaya tingkah lakunya pada masa akan datang diharap dapat dipengaruhi dan dibaiki dengan cara menafikannya dari menikmati dan menggunakan masa lapangnya.

Arahan penahanan itu hendaklah menentukan masa dan jumlah jam ditahan seseorang itu ditahan.

Kehadiran kelas penahanan mendatangkan kesan mencegah kepada murid berkenaan dan juga murid yang lain.

Aktiviti penahanan hendaklah merupakan sesuatu yang berfaedah dan membina.


Pengertian Hukuman Amaran

Hukuman amaran adalah sesuai apabila Pengetua / Guru Besar atau guru yang diberi kuasa setelah mempertimbangkan keadaan, jenis salah laku dan kelakuan murid yang telah melakukan salah laku itu, berpendapat bahawa adalah kurang wajar dikenakan hukuman yang lebih berat lagi.

Tindakan hukuman amaran merangkumi Amaran 1, 2, dan 3 bagi kategori salah laku ringan, Amaran dan Amaran keras bagi kategori salah laku sederhana dan Amaran Keras bagi kategori salah laku berat.


Sumber
Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia.



KATEGORI SALAH LAKU
                                                                             
PENGERTIAN ISTILAH SALAH LAKU

Kesalahan-kesalahan yang dilarang dengan nyata adalah kesalahan-kesalahan seperti mana yang dibekalkan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran yang sedia ada seperti mana Peraturan-peraturan Pelajaran Disiplin) Sekolah 1959. Kesalahan yang mana perbuatannya membahayakan keselamatan diri atau murid lain atau pihak lain dan melahirkan tingkah laku curang yang bertentangan dengan kehendak-kehendak peraturan dan matlamat yang hendak dicapai.

Lebih kuat tujuan sesuatu perbuatan salah laku, lebih meningkat bahaya yang didatangkan, lebih kerap kesalahan berlaku atau lebih bersungguh-sungguh pelajar melakukan tingkah laku jenayah (curang) sehingga boleh mengganggu ketenteraman.

Lebih berat hukuman yang dikenakan setakat mana perbuatan itu membahayakan sehingga boleh dibuang sekolah.

Beratnya hukuman yang dikenakan hendaklah jangan sampai tidak setimpal dengan salah lakunya.


SALAH LAKU KATEGORI BERAT

Melakukan mana-mana kesalahan sederhana kali ketiga.
Menyimpan,  membawa, mengedar, menghisap atau terbabit dalam kegiatan dadah.
Membawa, menyimpan, menghisap atau mengedar bahan tembakau.
Membawa, meminum, menyimpan atau mengedar minuman keras atau sebarang benda yang memabukkan / mengkhayalkan.
Menyebabkan / melakukan pergaduhan atau kekerasan.
Melawan, mengancam, memukul, mengugut atau mencederakan guru / pengawas / murid.
Biadab terhadap guru / pengawas / murid.
Memeras ugut guru / pengawas / murid.
Membawa / menggunakan senjata atau alat berbahaya.
Melakukan buli ( pelancoan ), penderaan atau paksaan terhadap murid lain.
Mencuri, merompak, memecah masuk dan menceroboh kawasan larangan.
Melakukan perjudian atau membabitkan diri dalam pertaruhan.
Mencetak, menerbit, mempamer, mengedar atau menyimpan rencana, majalah atau rakaman dan multimedia terlarang.
Membabitkan diri dalam kumpulan haram.
Mencabul kehormatan guru / murid.
Melakukan zina, liwat, hubungan luar tabii.
Melacur / menjadi bohsia / bohjan / pondan.
Bersekedudukan atau membabitkan diri dalam kegiatan tidak bermoral.
Mengintai murid lelaki / perempuan.
Menulis atau mengeluarkan kenyataan akbar yang mencemarkan.
Merosakkan harta benda sekolah / guru.
Membawa / menggunakan bahan letupan.
Menulis / melukis perkataan atau gambar lucah atau melakukan perbuatan lucah.
Membabitkan diri dalam tunjuk perasaan, perhimpunan haram atau merusuh.
Menyalahgunakan alat permainan elektronik atau bahan-bahan multimedia.
Membawa atau menggunakan alat yang menyebabkan kecederaan atau mengganggu pengajaran dan pembelajaran . peperiksaan / ujian.
Menganjur atau membabitkan diri dalam acara kebudayaan yang bertentangan dengan masyarakat Malaysia.
Menganjur atau membabitkan diri dalam acara kebudayaan tanpa kebenaran pihak sekolah , Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran.
Melakukan ponteng sekolah berterusan ( berturut-turut ) selama 30 hari atau berkala ( tidak berturut-turut ) selama 60 hari selama 1 tahun sesi persekolahan.
Mengganggu / menjejaskan kuasa Guru Besar / Pengetua atau guru yang menjalankan tugas.
Membawa masuk tetamu dari luar ke kawasan sekolah tanpa kebenaran.
Mengedar, memiliki, membawa, melukis dan mempamerkan bahan lucah.
Mengeluarkan kata-kata lucah dan kesat.
Melakukan hubungan yang dicurigai.
Kesalahan-kesalahan lain yang difikirkan termasuk dalam kategori ini.


SALAH LAKU KATEGORI SEDERHANA

PENGERTIAN ISTILAH

Kesalahan yang mana perbuatannya boleh membawa kepada gangguan ketenteraman sekolah tetapi tidak sampai mendatangkan.
Sekiranya lebih kerap kesalahan berlaku atau lebih bersungguh-sungguh murid itu melakukannya boleh membawa kepada ikutan oleh murid lain dan kemudaratan , keharmonian sistem pendidikan di sekolah.
Lebih meningkat perlakuan negatif ini yang didatangkan maka lebih tingkat pulalah hukuman yang patut diberi sehingga boleh digantung persekolahan. Beratnya hukuman yang dikenakan hendaklah jangan sampai tidak setimpal dengan salah lakunya.


SALAH LAKU KATEGORI SEDERHANA

Melakukan mana-mana kesalahan ringan melebihi 3 kali.
Menyalahgunakan / menggunakan peralatan / sumber bekalan elektrik sekolah tanpa kebenaran.
Keluar dari kawasan sekolah tanpa kebenaran.
Tidak amanah, menipu, berbohong dan menipu ketika ujian / peperiksaan.
Ponteng sebarang acara rasmi sekolah.
Tidak menghormati lagu-lagu / bendera / jata sekolah, negeri dan kebangsaan.
Fesyen rambut keterlaluan seperti punk / skin head atau berwarna.
Menconteng pada harta benda sekolah.
Memakai barang kemas keterlaluan, seperti menindik telinga dan memakai subang berlebihan pada satu cuping telinga.
Kesalahan-kesalahan lain yang difikirkan termasuk dalam kategori ini

* Nota            Membayar ganti rugi bagi kesalahan yang menyebabkan kerugian, hendaklah berbincang dengan ibu bapa / penjaga kerana murid tidak mempunyai sumber kewangan sendiri untuk membayar ganti rugi.


SALAH LAKU KATEGORI RINGAN

PENGERTIAN ISTILAH

Kesalahan-kesalahan salah laku yang dinyatakan seperti mana yang dibekalkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975. Salah laku yang dinyatakan dalam peraturan, misalnya membuat bising dalam darjah, berkeliaran ( loitering ) dan berbagai lagi perbuatan yang tidak diingini.

Salah laku dan kelakuan murid yang telah melakukan perbuatan salah laku dilihat sebagai kurang wajar dikenakan hukuman lebih berat lagi.

Lebih meningkat perlakuan salah laku ini yang didatangkan maka lebih tingkat pulalah hukuman yang patut diberi sehingga boleh diberi Amaran Ketiga.

Beratnya hukuman yang dikenakan hendaklah jangan sampai tidak setimpal dengan salah lakunya.

SALAH LAKU KATEGORI RINGAN

Menyimpan misaim, janggut atau jambang.
Berambut panjang atau menyerupai kumpulan tertentu.
Bermain dalam bilik darjah, koridor atau kawasan terlarang.
Menggunakan dan membawa keluar sebarang peralatan bilik darjah dan sekolah tanpa kebenaran.
Keluar dari bilik darjah tanpa kebenaran.
Berada di kantin pada waktu persekolahan ( kecuali waktu rehat ) tanpa kebenaran.
Menyimpan atau menggunakan alat permainan kepunyaan sekolah tanpa kebenaran.
Menggunakan alat hiburan atau elektronik sekolah tanpa kebenaran.
Memasuki atau tidak mematuhi arahan makmal / bengkel / bilik khas.
Memakai barang kemas atau perhiasan atau alat solek kecuali jam tangan yang tidak berfesyen.
Memasuki bilik khas tanpa kebenaran.
Makan dan minum dalam bilik darjah.
Melakukan pembaziran air / elektrik.
Tidak memakai pakaian sekolah yang lengkap.
Semua kesalahan yang bersabit dengan pembelajaran ( tidak membawa buku, tidak membuat kerja rumah, tidak memberi perhatian dan lain-lain )
Datang lewat ke sekolah.
Lewat bergerak ke perhimpunan / bengkel / makmal.
Bising dalam bilik darjah sehinggga mengganggu kelas lain.
Menunggang atau memandu kenderaan dalam kawasan sekolah.
Berjalan-jalan tanpa kebenaran.
Tidak membuat gerak kerja yang ditugaskan.
Mengganggu kawasan.
Mengganggu guru.
Lewat masuk kelas.
Mengotorkan kelas.
Tidak duduk setempat.
Kesalahan lain yang difikirkan termasuk dalam kategori ini


PENGERTIAN SALAH LAKU PONTENG SEKOLAH

Di mana murid sekolah yang tidak hadir ke sekolah pada hari persekolahan rasmi tanpa alasan atau sebab-sebab bertulis atau lisan daripada ibu bapa atau penjaga atau doktor perubatan.

Ponteng Sekolah Secara Berterusan atau Berturut-turut
Di mana murid sekolah telah tidak hadir ke sekolah secara berterusan atau berturut-turut tanpa alasan atau sebab-sebab bertulis atau lisan daripada ibu bapa atau penjaga atau pengesahan doktor perubatan selama 31 hari atau lebih.

Ponteng Sekolah Secara Berkala
Di mana murid sekolah telah tidak hadir ke sekolah secara berkala atau berselang-selang hari tanpa alasan atau sebab-sebab bertulis atau lisan daripada ibu bapa atau penjaga atau pengesahan doktor perubatan selama 60 hari atau lebih.


PENGERTIAN SALAH LAKU PONTENG KELAS

              Di mana murid sekolah yang hadir ke sekolah telah tidak berada dalam kelas dalam satu-satu waktu pelajaran atau keseluruhan waktu Pelajaran.
              Murid ini masih berada di dalam kawasan sekolah.


PENGERTIAN SALAH LAKU PONTENG ACARA RASMI

              Di mana murid sekolah yang tidak hadir ke acara rasmi sekolah yang dimestikan hadir sama ada di dalam sekolah atau di mana-mana di luar sekolah yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan